Social
253
0

Kilang proses ayam sejuk beku didenda RM35,000

Shah Alam – Sebuah kilang memproses ayam sejuk beku di Tanjung Karang, didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas gagal mematuhi had piawai ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata Hakim Razali Ariffin menjatuhkan hukuman itu terhadap wakil syarikat selaku orang kena saman yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Beliau berkata, pada 27 Februari 2019, syarikat berkenaan didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai bagi satu parameter mengikut Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 iaitu kandungan pepejal terampai mempunyai kepekatan 190 migram seliter (mg/l) yang melebihi had kepekatan dibenarkan iaitu 100 mg/l.

“Berdasarkan fakta kes dan eksibit dikemukakan pihak pendakwaan, hakim kemudian menjatuhkan hukuman dengan denda RM35,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, pegawai pendakwa JAS Selangor, Nor Faizura Mohd Ali dan Mohd Ridzuan Zainal memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal berdasarkan pertimbangan ke atas kepentingan awam. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu