Nation
293

Kilang Top Glove di Klang ditutup

Shah Alam – Operasi semua 28 kilang milik syarikat pembuat sarung tangan, Top Glove di sekitar Meru, Klang telah ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuatkuasa di Daerah Klang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor berkata ekoran aduan orang ramai di media sosial mendakwa kilang itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPD, pihaknya bersama polis Klang Utara, Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang telah melaksanakan operasi pemeriksaan dan pematuhan SOP di sekitar kilang Top Glove Jalan Teratai dan Jalan Dahlia, Meru pada Isnin lepas.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dilakukan, didapati terdapat sedikit kekeliruan berhubung kebenaran pengoperasian yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada pihak Top Glove.

“Kebenaran operasi oleh pihak MITI ini, tidak boleh digunapakai bagi kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan PKPD,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya sebanyak lapan daripada 28 keseluruhan kilang milik syarikat Top Glove di kawasan Meru telah ditutup manakala selebihnya ditutup secara sukarela oleh pihak Top Glove setelah perbincangan dibuat.

Mohd Zainal berkata penutupan tujuh daripada lapan kilang itu dilakukan selaras dengan peruntukan Seksyen 18 (1)(f) Akta Kawalan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana beroperasi dalam kategori perkhidmatan tidak perlu dalam tempoh PKPD.

Sebuah lagi kilang ditutup atas kesalahan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Perindustrian (MPK) 2007, katanya.

Beliau berkata tiga kompaun berjumlah RM30,000 mengikut Akta 342 turut dikeluarkan ketika operasi itu atas kesalahan majikan gagal memastikan pekerja mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara yang sedang berkuatkuasa, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu