Nation
337

“Kita tidak mahu sampai tahap siapa yang hidup, siapa yang mati”

Putrajaya – “Kita tidak mahu sampai kepada tahap perlu pilih siapa yang hidup, siapa yang mati”.

Itu peringatan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada masyarakat berhubung trend jangkitan COVID-19 yang menunjukkan peningkatan mendadak di negara ini dan global.

Beliau berkata, meskipun negara masih berkemampuan dari segi kemudahan kesihatan, ia bukan alasan untuk rakyat terus mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kita tidak mahu berakhir seperti beberapa negara yang kita (kena) memilih siapa yang hidup dan siapa yang mati.

“Ketika ini kita masih ada kapasiti tetapi kita sarankan semua rakyat untuk pastikan mereka mematuhi SOP sebab kita berada dalam situasi kritikal.

“Katil di hospital awam dan hospital kerajaan semakin penuh.

“Kita harap, berikan kita masa dua minggu dan kemudian ia akan memberikan ruang penampan untuk kita siap siaga dan menguruskan kembali diri kita serta kemungkinan untuk menurunkan jumlah kes supaya hospital boleh memenuhi keperluan pesakit yang dijangkiti COVID-19,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata ketika ini negara memerlukan masa untuk melaksanakan pendekatan luar biasa untuk menangani penularan COVID-19.

Beliau berkata pihaknya ada mengadakan mesyuarat untuk menentukan keputusan kolektif bagi melihat isu ini.

“Ini adalah tempoh luar biasa dan kita memerlukan pendekatan luar biasa. Ini bukan waktu kebiasaan di mana kita kita boleh berpuas hati. Jadi, kita harap semua agensi dan sektor relevan berkenaan akan mengikuti garisan panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tiada perhimpunan besar kerana ia sebenarnya punca jangkitan.

“Kita cuba mengelak majlis ‘super spreader’ (perebak utama) Jika kita boleh mengelak majlis itu seperti majlis perkahwinan atau kematian.

“Kluster Pasai adalah membabitkan upacara kematian di mana ia adalah majlis super spreader. Majlis perkahwinan juga direkodkan sebagai majlis super spreader.

“Raya ini kita harapkan tiada peningkatan mendadak jangkitan. Kenapa tidak kita lakukan sekali lagi. Sekarang, kes amat tinggi. Jika anda dijangkiti dan datang ke hospital dan jika tidak mempunyai cukup katil ICU (unit rawatan rapi), kita dalam masalah,” katanya. – BH Online

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu