Nation
102

K’jaan masih beku pengambilan pekerja asing : Menteri Sumber Manusia

Kuala Lumpur – Kerajaan mengulangi pendirian bahawa pengambilan tenaga kerja asing masih dibekukan ketika ini, dan mengutamakan penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata, walaupun terdapat desakan daripada beberapa sektor yang memerlukan tenaga kerja asing, namun kerajaan mahu kekosongan itu diisi dengan tenaga kerja tempatan.

Justeru itu katanya, rakyat Malaysia khususnya golongan belia disarankan berdaftar di bawah program MYFutureJobs, yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan khususnya dalam sektor pertanian, perkhidmatan, perladangan dan pembinaan.

“Dalam tempoh kita masih berdepan dengan impak penularan COVID-19 dan pelaksaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kita tidak membenarkan pengambilan tenaga asing, kita mahu rakyat kita mempunyai pekerjaan.

“Usaha ini untuk menyakinkan rakyat kita, kerajaan sentiasa utamakan rakyat dan menyediakan peluang pekerjaan untuk mereka,” katanya ketika menjadi panel jemputan rancangan Ruang Bicara yang membincangkan topik ‘Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat’, yang disiarkan di Bernama TV malam Khamis.

Jelas Saravanan, sebelum pelaksanaan PKP pada tahun lepas, seramai 1.7 juta pekerja asing berdaftar direkodkan dan jumlah itu terus berkurangan selepas kira-kira 500,000 dihantar pulang ke negara asal.

Katanya berikutan pengurangan pekerja asing, terdapat kekosongan tenaga kerja dalam sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar, ketika ini.

“Tidak dinafikan sebagai negara membangun, rakyat tempatan khususnya golongan belia cenderung tidak memilih pekerjaan dalam sektor 3D, namun peluang yang ada dalam sektor itu sedikit sebanyak mampu mengurangkan masalah pengangguran,” katanya. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu