Social
108

KKM kesan 3 produk kosmetik beracun

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk itu ialah Deeja Cosmetic Yulai Cream, Deeja Cosmetic Laila Cream dan Deluxe Beauty – Ultra Lightening Cream Pearl Perfect Fairness yang masing-masing mengandungi hidrokuinon, merkuri dan betametason 17- valerat.

“Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM. Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hidrokuinon dan betametason 17-valerat adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya.

Betametason 17-valerat pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Bagi produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri, bahan itu dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak- kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu