Nation
293

KKM kesan sijil vaksinasi dijual dalam talian

Gopeng – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenalpasti satu kes penjualan sijil vaksinasi dalam bentuk kad fizikal secara dalam talian di utara tanah air.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata tindakan akan diambil Unit Inspektorat dan Perundangan KKM ke atas pihak yang terlibat selain laporan polis telah dilakukan bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan.

“Kita tidak membenarkan penjualan (sijil vaksinasi) ini kerana ia adalah satu penipuan sebab akan ada individu melakukan penipuan mengatakan dia sudah menerima dua dos vaksin COVID-19.

“KKM tidak ada mengeluarkan atau membuat perolehan kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad vaksinasi kerana sekiranya mahu dine-in (makan di premis) atau merentas daerah, mereka perlu menunjukkan sijil digital di aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi yang dikeluarkan oleh KKM,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Kompleks Jabatan Kemajuan Masyarakat di sini hari ini.

Semalam, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah Datuk Dr Mohd Rushdan Mohd Noor dalam hantaran yang dimuat naik melalui laman Facebook beliau mendedahkan sijil vaksinasi COVID-19 dalam bentuk kad fizikal sudah dijual secara dalam talian.

Beliau turut menyiarkan tangkap layar penjualan kad fizikal dalam talian yang tertera sijil digital vaksinasi COVID-19 yang dicetak dan dijual pada harga RM15.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Azmi berkata individu dari luar negara yang pulang ke Malaysia perlu mendaftar aplikasi MySejahtera bagi membolehkan mereka sentiasa mengemaskini tahap kesihatan.

“Apabila pulang dari luar negara, di pintu masuk lapangan terbang pihak KKM akan mengambil segala maklumat mengenai tahap kesihatan dan akan dimasukkan ke dalam MySejahtera,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemudahan bagi individu yang menerima vaksinasi lengkap iaitu pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia termasuk Penduduk Tetap dan Malaysia MY Second Home yang pulang atau tiba dari luar negara dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu