Nation
436

KKM pertimbang guna alat ujian pernafasan kesan virus Covid-19 : Dr Adham

Putrajaya – Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbang penggunaan alat ujian pernafasan yang dikenal pasti sebagai kit baharu bagi mengesan virus COVID-19 di negara ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) akan menjalankan ujian klinikal mengenai keberkesanan alat tersebut sebelum meluluskan penggunaannya di negara ini.

“Pada masa, alat ini tular di Singapura kerana ia adalah salah satu alat yang boleh mengesan kehadiran virus COVID-19 dalam udara pernafasan dan ia perlu diteroka untuk digunakan di negara kita.

“Kita masih menunggu supaya pihak MDA boleh luluskan penggunaan (alat ujian pernafasan) itu sekiranya terdapat permohonan daripada pembekal,” katanya dalam sidang media secara maya di sini hari ini.

Pada 24 April lepas, Bernama melaporkan ujian pernafasan yang mudah digunakan bagi mengesan COVID-19 dengan tepat dalam seminit telah mendapat kelulusan sementara Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA).

Sistem Ujian Pernafasan BreFence ™️ Go COVID-19 itu dibangunkan Breathonix Pte Ltd, sebuah syarikat terbitan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Mengenai ujian pengesanan COVID-19 melalui kit ujian yang menggunakan kaedah persampelan air liur, Dr Adham berkata kelulusan penggunaan kit ujian tersebut akan diketahui dalam masa terdekat.

“Pengesanan COVID-19 menggunakan sampel air liur ini lebih mudah dah ia boleh dilaksanakan sendiri di rumah masing-masing. Kaedah ini juga diyakini kerana mempunyai sensitiviti dan spesifisiti yang tepat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa orang ramai boleh mendapatkan kit itu dimana-mana farmasi atau pembekal yang berdaftar dengan KKM apabila ia diluluskan nanti.

“Sekiranya mereka dikesan positif selepas melakukan ujian, mereka perlu asingkan diri dan memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sedang mengenal pasti dua syarikat yang akan membekalkan kit ujian berkenaan, dan alat itu sedang dalam proses pendaftaran dengan MDA. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu