Nation
97

KKR hantar 3 cadangan kepada MOF bagi bantu kontraktor

Kuala Lumpur – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menghantar tiga cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk membantu kontraktor yang sedang melaksanakan projek-projek kerajaan susulan kenaikan harga bahan binaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata tiga cadangan itu termasuk menambah bahan binaan dalam senarai Syarat Perubahan Harga (VOP) daripada enam kepada 23 bahan binaan.

“Cadangan lain adalah meluaskan pemakaian VOP bagi kontrak kerja reka dan bina untuk projek pada 1 Sept lepas dan melanjutkan VOP sehingga akhir tahun depan sekiranya ia diluluskan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata semua cadangan itu mampu membantu mengurangkan beban kontraktor yang sedang melaksanakan kerja pembinaan kerajaan agar projek-projek berkenaan siap untuk keselesaan rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) mengenai semakan semula yang dibuat oleh kerajaan mengenai kos projek kerajaan berikutan kenaikan mendadak harga bahan binaan dan logisitik serta mengenai VOP.

Arthur berkata setakat ini, kerajaan telah melaksanakan semula syarat VOP dalam kontrak kerja konvensional kerajaan seperti yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan yang berkuat kuasa bagi kontrak bermula 1 Jan 2021 hingga 31 Dis ini.

Beliau berkata pekeliling itu berkuat kuasa bagi semua kontrak kerja konvensional kerajaan meliputi kerja bangunan, kejuruteraan awam dan mekanikal dan elektrikal (M&E) bagi kerja-kerja sebut harga serta kontrak bernilai RM500,000 ke atas.

Menurutnya, berdasarkan kajian terhadap data Jabatan Perangkaan Malaysia dari Januari hingga Ogos lepas yang diunjurkan sehingga Disember 2021, didapati berlaku kenaikan kepada indeks kos pada kadar antara tiga hingga 19 peratus di seluruh negara kesan pandemik COVID-19 dan peningkatan harga pasaran global.

KKR mengambil maklum mengenai kenaikan harga bahan binaan seperti pasir dan besi bertetulang agak ketara mengikut lokaliti setempat yang turut memberi kesan kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam kumpulan atau subkumpulan wajaran tertentu sekali gus menjejaskan kelancaran pembinaan projek kerajaan, katanya.

Mengenai permohonan untuk memperluaskan VOP bagi kontrak kerja reka dan bina, beliau memberitahu KKR masih menunggu pertimbangan Kementerian Kewangan bagi permohonan itu, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu