Kuala Lumpur Post

Nation

KL naik 16 anak tangga bandar raya terpintar dunia

KUALA LUMPUR — Kuala Lumpur (KL) naik 16 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-73 dalam senarai bandar raya terpintar di dunia daripada 142 bandar raya, menurut Indeks Bandar Pintar (SCI) 2024 oleh Institute for Management Development (IMD) baru-baru ini.

Tahun lepas KL berada di kedudukan ke-89. Laporan itu mengetengahkan beberapa prestasi KL yang membanggakan, termasuk kemudahan pembelian tiket dalam talian dan kebolehcapaian penyenaraian pekerjaan dalam talian yang memudahkan mencari kerja.

Laporan itu memuji struktur kesihatan dan keselamatan di ibu kota, seperti “mengatur temu janji perubatan dalam talian yang menambah baik akses”, dan struktur mobiliti seperti “penjadualan dalam talian dan jualan tiket menjadikan pengangkutan awam lebih mudah untuk digunakan”.

Bagaimanapun, laporan itu mendapati kesesakan lalu lintas, rasuah, pencemaran udara, dan rumah mampu milik antara isu paling membimbangkan.

Presiden Smart City Observatory Bruno Lanvin berkata sesebuah bandar raya perlu merangka dan mengguna pakai strategi untuk bertahan dengan ujian ketidaktentuan pada masa depan.

Beliau juga berkata kepercayaan dan tadbir urus yang baik menjadi semakin penting dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam reka bentuk dan pengurusan bandar dijangka meningkat.

“Walaupun ia mungkin kedengaran tidak intuitif, AI boleh membantu menginsankan bandar menjadi lebih mementingkan manusia,” katanya dalam kenyataan di laman web IMD.

Zurich mengekalkan kedudukan teratas bagi edisi kelima berturut-turut laporan SCI pada 2024, diikuti Oslo, Canberra, Geneva, dan Singapura