Nation
637
0

KM Pulau Pinang minta maaf isu beli kereta Mercedes

Georgetown – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat negeri ini, berhubung pembelian kereta rasmi baharu jenis Mercedes S560e ketika negara sedang berhadapan waktu sukar kerana penularan wabak COVID-19.

Chow berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas pembelian kereta model tahun 2019 berharga kira-kira RM458,000 dan pihaknya akan lebih berhati-hati membuat pertimbangan khususnya membabitkan pembelian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu, berkata ia menjadi pengajaran kepadanya dan kerajaan negeri kerana walaupun ada keperluan untuk menukar kereta rasmi, namun masanya kurang tepat memandangkan rakyat amat risau dengan pembelian itu.

“Kereta untuk kegunaan Ketua Menteri dibeli mengikut proses pentadbiran sewajarnya dan saya ambil maklum pandangan semua pihak berhubung isu berkenaan, saya juga mengakui perkara itu adalah satu pengajaran kepada saya dan kerajaan negeri susulan tindakan pembelian tersebut menyebabkan rakyat risau dan tersinggung.

“Namun sebagai Ketua Menteri jika ada pihak tersinggung dan rasa ia tidak tepat pada waktunya, kalau ada keperluan pun mungkin boleh ditunda sebab pandemik, saya memikul tanggungjawab terakhir pada isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan ikhlas beg penyayang One Hope Charity di Pusat Khidmat Padang Kota di sini hari ini.

Khamis lepas, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, mengesahkan Ketua Menteri Pulau Pinang dibekalkan kereta rasmi baharu model Mercedes S560e bagi menggantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.

Namun, pembelian kereta rasmi baharu itu dikecam ramai pihak termasuk Parti Gerakan yang meminta kerajaan negeri agar tidak boros berbelanja, terutama dalam perkara yang tidak begitu penting seperti menukar kereta rasmi Ketua Menteri yang baharu.

Menjawab soalan media berhubung kerisauan beberapa pihak kononnya kerajaan negeri menggunakan wang rakyat untuk membeli kereta berharga ratusan ribu itu, Chow berkata perkara tersebut tidak benar kerana sebenarnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah bersedia sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

“Itu jauh sekali (menggunakan wang rakyat untuk membeli kereta rasmi baharu). Sebelum isu ini dicetuskan, saya sudah arahkan exco-exco dan pegawai kewangan negeri sedia dalam menyediakan pakej bantuan jika kerajaan mengumumkan PKP semula,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu