Nation
351

Komen perkauman: Borhanuddin akan disiasat polis : Hamzah

Kuala Terengganu – Bekas Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim akan disiasat susulan kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain badminton negara, S Kisona.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Borhanuddin di seluruh negara setelah kenyataannya yang merujuk kepada pemain itu tular di laman sosial sejak kelmarin.

Katanya polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan juga akan dibuat mengikut Sekyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. Saya rasa amat dukacita apabila seorang pemimpin bercakap mengenai perkauman. Isu perkauman ini banyak berlaku, termasuk kes ini.

“Kadangkala seseorang terlalu mengikut emosi hingga mengeluarkan kenyataan yang tidak elok,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pecah tanah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bangunan IPK baharu bernilai RM104 juta setinggi sembilan tingkat itu dibina di tapak seluas dua hektar ditengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu bagi menggantikan bangunan lama yang telah berusia 84 tahun, dan ia dijangka siap hujung 2024.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata di peringkat parti tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Borhanuddin setelah beliau meletak jawatan dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Borhanuddin sudah minta maaf dan letak jawatan…jadi saya nasihatkan pada yang lain supaya jangan melakukan perkara seperti ini. Salah tetap salah…saya rasa dia dah faham. Kita tidak suka (pada kenyataan perkauman) tetapi ia telah pun terjadi,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa lebih ramai pemimpin dan ahli Bersatu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai semula Umno, Hamzah berkata: “Saya tak tahulah…itu mungkin persepsi beliau (Ahmad Zahid).”

Beliau berkata pemimpin mempunyai hak masing-masing untuk menyertai mana-mana parti dan ia terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan.

Hmzah berkata tindakan sesetengah pemimpin yang keluar parti tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Bersatu, malah menurutnya jumlah ahli parti itu telah meningkat sehingga 520,000 ahli berbanding 300,000 ahli sahaja tahun lepas, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu