Nation
184

Kompaun ke atas pekerja syarikat minyak dan gas di Sitiawan akan dibatalkan : Polis

Ipoh – Kompaun yang dikenakan terhadap pekerja syarikat minyak dan gas di Sitiawan pada Sabtu lepas, kerana tidak mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera ketika memasuki tempat kerja, akan dibatalkan.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi akan merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah, untuk memaklumkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara, bagi tujuan pembatalan kompaun berkenaan.

Beliau berkata, hasil semakan yang dilakukan Polis Daerah Manjung kepada Unit Inspektorat dan Perundangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati, telah berlaku kekeliruan terhadap kesalahan tersebut.

“Pihak KKM telah mengesahkan bahawa, pemilik aplikasi MySejahtera perlu mengemas kini status kesihatan apabila terdapat gejala, mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, mempunyai hubungan atau menjadi kontak rapat, serta disahkan positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, dilaporkan seramai 29 pekerja syarikat minyak dan gas dilapor dikompaun RM2,000 setiap orang, manakala dua pekerja kilang proses ayam RM1,500 setiap orang, kerana tidak mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera ketika memasuki tempat kerja.

Sementara itu di Taiping, seorang lelaki yang juga penganjur satu perjumpaan melibatkan 27 peserta, dikompaun RM20,000 kerana berkumpul di sebuah rumah di Kampung Perwira, Kamunting, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata, lelaki berumur 54 tahun dari Kampung Banggali, Taiping itu, dikompaun setelah mengaku bertanggungjawab menganjurkan perjumpaan itu bagi menjalankan aktiviti kerohanian, selain berbincang mengenai program amal yang akan dijalankan. — Bernama

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu