Kangar — Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas pertuduhan membunuh bekas pelumba motosikal negara, Elly Idzlianizar Ilias di Kangar, 10 Sept lalu.
Tertuduh, Ibrahim Johan, 51, hanya menjawab faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor dan tiada pengakuan dibuat memandangkan kes itu di bawah kuasa Mahkamah Tinggi, menurut Berita Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Elly Idzlianizar Ilias, 40, pada 10 Sept lalu sekitar 10.30 malam hingga 12.01 tengah malam pada 11 September lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di simpang tiga, Taman Behor Gonchar Jaya, Kangar.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan tidak kurang 12 kali sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Po’ad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Tan Yeng Sing.
Terdahulu, Nabilah tidak menawarkan ikat jamin dan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik, bedah siasat dan kimia.
Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 30 Disember.
Media sebelum ini melaporkan, Elly Idzlianizar Elias disahkan maut kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan selepas terbabit dalam pergaduhan di Kangar.