Kuantan – Seorang bendahari koperasi berkaitan perniagaan emas membuat laporan polis mendakwa kerugian RM98,921 selepas empat pelanggan mengemukakan slip bayaran bank palsu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata pengadu yang berusia 30 tahun berkata urusan pembelian diuruskan seorang ejen koperasi yang menggunakan WhatsApp sebagai medium perantaraan dengan pelanggan terlibat.
“Pengadu mendakwa urusan pembelian berlangsung antara 30 Okt hingga 11 Nov lepas, dan suspek didakwa telah mengemukakan resit bayaran bank sebagai bukti telah melakukan pembayaran kepada ejen untuk urusan penghantaran barang kemas itu.
“Perbuatan suspek hanya disedari selepas pengadu membuat semakan di bank pada Isnin lepas dan mendapati bayaran bagi empat pelanggan itu tidak dikreditkan ke dalam akaun, sedangkan barang kemas telah dihantar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – Bernama