Social
219

Korban pertama banjir di Kedah

Jitra – Seorang lelaki menjadi korban pertama banjir di Kedah selepas lemas ketika memukat ikan di kawasan bendang berhampiran sungai di Kampung Seluang, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata mayat Omar Ismail, 22, ditemui jam 9.20 pagi oleh sepasukan anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) JBPM Kedah.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui ketika anggota PPDA melakukan pencarian di permukaan air di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.

“Mayat mangsa ditemui pada jarak kira-kira tiga meter dari lokasi dia terjatuh, sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) Kampung Kubu jam 9.28 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi itu disertai sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan pasukan PPDA dari BBP Jitra dan Sungai Petani.

“Mayat kepada polis dan dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut. Ini adalah korban pertama mangsa banjir sejak bencana ini melanda Kedah,” katanya.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh di kawasan sawah yang dipenuhi air akibat banjir sebelum dihanyutkan ke sungai berhampiran ketika memukat ikan di Kampung Kubu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa dikatakan bersama bapa mentuanya memukat ikan di lokasi kejadian, sebelum dihanyutkan arus ke arah kawasan sawah bersebelahan sungai berkenaan, lapor BH Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu