Nation
114
0

KPDNHEP: Kenaikan harga minyak masak botol akan dikaji

George Town – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melihat kepada kenaikan harga minyak masak botol 5 kilogram (kg) sebelum mengkaji kesesuaiannya.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada penjual dan pengeluar mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pecatutan 2011, bagi mengumpulkan data mengenai harga minyak masak untuk tempoh dua tahun lepas.

Beliau berkata, salah satu daripada faktor kenaikan harga minyak masak berkemungkinan disebabkan kenaikan harga minyak kelapa sawit dunia.

“Dengan harga minyak masak botol 5kg tidak dikawal oleh kerajaan, kita akan mengkaji jika kenaikan harga adalah munasabah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan mengejut harga barangan di sebuah pasar raya di Jelutong.

Beliau berkata, minyak masak botol 5kg berharga kira-kira RM30 dan baru-baru ini kenaikkan tertinggi harga kira-kira RM2, walaupun pada kebiasaannya kenaikkan harga hanya kira-kira 50 sen.

Mohd Ridzuan mengulas mengenai aduan yang diterima minggu lepas mengenai kenaikan harga minyak masak botol.

Beliau turut meminta penjual untuk mengawal sendiri bekalan minyak masak dalam paket 1kg.

Beliau berkata, pembelian minyak masak paket 1kg yang dikawal harganya, perlu dihadkan antara dua ke lima peket untuk seorang pelanggan.  —  Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu