Social
92

KPM siasat isu guru jenaka rogol

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan tegas dan sewajarnya jika terbukti wujud kes membabitkan dakwaan ‘jenaka rogol’ oleh seorang guru sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata

pihaknya mengambil serius dakwaan berkenaan dan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak.

“Kami di pihak kementerian mengambil serius berhubung perkara ini dan siasatan dalaman sedang dilakukan memandangkan kes ini juga sudah menjadi kes polis.

“Kita ambil serius dan siasat dengan mendalam untuk melihat keadaan sebenarnya. Jika terbukti ada kes, maka tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Polis sebelum ini dilaporkan menerima dua laporan berhubung dakwaan seorang guru mengeluarkan perkataan berunsur lucah dengan menggalakkan perlakuan rogol ketika sesi kelas subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata dua laporan itu dibuat seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun kerana perkataan dikeluarkan guru itu tidak sesuai dan gurauan rakan sekelas mengenai kes terbabit.

Kejadian itu tular selepas seorang pelajar perempuan memuat naik video menerusi aplikasi TikTok mengenai cara pengajaran guru lelaki berkenaan yang dikatakan berbaur lucah ketika membincangkan topik kesedaran mengenai gangguan seksual.

Kejadian itu dipercayai berlaku Jumaat lalu di sebuah sekolah di Selangor. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu