Nation
351

KPN, kerajaan fail rayuan Mahkamah tolak batal saman Indira Gandhi

Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman M. Indira Gandhi berhubung dakwaan gagal menangkap bekas suaminya serta memulangkan anak perempuan yang dilarikan lelaki mualaf itu, 12 tahun lepas.

Indira Gandhi memfailkan saman itu pada 28 Okt tahun lepas dan menamakan KPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

KPN, PDRM, KDN dan kerajaan memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Rayuan pada 13 Ogos lepas kerana tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 16 Julai.

Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A Dadi, yang mewakili kesemua defendan, ketika dihubungi berkata salinan notis rayuan itu telah diserahkan kepada peguam yang mewakili Indira Gandhi melalui e-mel pada 16 Ogos.

Pada 16 Julai lepas, Mohd Nazlan menolak permohonan kesemua defendan atas alasan antaranya kes itu tidak nyata dan tidak mampan untuk mewajarkan ia dibatalkan terus sebaliknya harus ditentukan melalui perbicaraan penuh dengan pihak terbabit berpeluang membentangkan kes mereka serta memanggil saksi.

Pernyataan tuntutan Indira, 46, mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya, Prasana Diksa, yang kini berusia 13 tahun.

Beliau mendakwa kesemua defendan juga berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya itu seperti diarah oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Justeru, beliau menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa KPN telah melakukan ‘tort of nonfeasance’ atau dengan sengaja tidak mengambil tindakan di pejabat awam manakala PDRM, KDN dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius bagi ‘tort of nonfeasance’ yang dilakukan KPN, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu