Nation
135

KPN sudah tahu individu di sebalik kartel PDRM

Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan bahawa beliau mengetahui identiti individu-individu di sebalik gerakan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mewujudkan kartel untuk menguasai jawatan penting dan menjatuhkan pegawai atasan mereka.

Abdul Hamid berkata, data-data identiti mereka yang terlibat dalam gerakan kartel itu diperoleh daripada sumber yang sahih bagaimanapun pihaknya memilih untuk tidak mendedahkannya kerana perkara itu diyakini masih berada di dalam kawalan.

“Saya akan ambil tindakan dan sudah kenal pasti siapa mereka malah saya akan bincangkan perkara ini bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani untuk tindakan selanjutnya.

“Tidak salah untuk mempunyai cita-cita dan ia merupakan sesuatu yang baik untuk terus memajukan diri malah saya amat menggalakkannya, namun masalah timbul jika cita-cita itu digabungkan dengan amalan tidak sihat yang saya selalu kritik dan minta dihentikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Menurut Abdul Hamid, pendedahan yang dibuatnya sebelum ini berhubung gerakan kartel dalam PDRM itu adalah tanggungjawab beliau sebagai ketua pasukan dan bukannya bersifat politik untuk meminta disambung kontrak pada masa hadapan.

“Tiada politik dalam tindakan saya ini, saya ikhlas dan ingin menegaskan bahawa pendedahan ini bukannya untuk mengumpan mana-mana pihak untuk menyambung perkhidmatan di masa hadapan, saya yakin dengan pegawai pelapis sedia ada dan bukan jenis orang yang meminta-minta.

“Sejak 2019 saya sudah ingatkan kepada semua untuk putuskan hubungan dengan taukeh judi dan dadah agar kita dapat jalankan tugas dengan selesa dan tidak diugut oleh mana-mana pihak, namun dalam tempoh itu juga saya rasa sudah hampir 100 anggota dan pegawai yang memakai ‘baju jingga’,” jelas beliau.

Tambahnya, tindakan mendedahkan perkara itu bukanlah untuk membuka pekung di dada dan kepada mereka yang terlibat ketahuilah bahawa orang ramai juga mengetahui apa yang sedang berlaku.

“Jangan ada selepas ini orang kata saya membuka pekung di khalayak ramai. Jangan ingat orang tidak tahu. Kita megah berjalan dengan uniform dan pistol tersisip di pinggang, ingatkan orang hormat padahal orang meludah di belakang. Saya tidak mahu perkara ini berlaku.

“Pendedahan ini dibuat agar ia menjadi contoh kepada agensi kerajaan yang lain. Saya juga mahu orang awam tahu bahawa saya tahu apa yang berlaku dan mereka yang terlibat juga tahu ia bukanlah sesuatu yang baik untuk mereka,” ujarnya.

Semalam, Abdul Hamid mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) bebas menyiasat dakwaan salah laku pegawai muda yang mewujudkan kartel bertujuan untuk untuk menguasai jawatan penting dalam PDRM.

Beliau menjelaskan tidak akan membuat laporan kepada SPP sebaliknya akan bersemuka dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memberi penjelasan lanjut. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu