Nation
168

KPWKM gesa tindakan tegas terhadap pendera kanak-kanak

Kuala Lumpur – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang disyaki terlibat dalam penderaan dan penganiayaan kanak-kanak.

KWPKM menegaskan perbuatan itu adalah kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“KPWKM memandang serius berhubung video tular di media sosial berkenaan kejadian seorang pendidik disyaki melakukan penderaan kepada kanak-kanak di sebuah taman didikan kanak-kanak (tadika).

“Justeru, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan melibatkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak,” demikian menurut kenyataan kementerian itu hari ini.

Semalam, tular kilp video berdurasi 10 saat memaparkan seorang guru wanita mengangkat dan menghempas seorang murid lelaki sambil disaksikan oleh murid-murid tadika yang lain, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata pihaknya telah memanggil guru tersebut bagi memberikan keterangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Berikutan isu itu, KPWKM juga akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap tadbir urus tadika.

KPWKM meminta orang ramai melaporkan sebarang tingkah laku yang mencurigakan terhadap kanak-kanak kepada pihak berkuasa atau menghubungi Talian Kasih 15999 dan talian WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam sehari. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu