Social
123

Krim pemutih ‘Brilliant Skin Essentials’ dikesan mengandungi racun

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan produk kosmetik Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream mengandungi racun berjadual, Tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata notifikasi produk kosmetik itu telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM.

“Oleh itu, produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia. KKM ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata produk yang mengandungi tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kemerahan di bahagian kulit, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Beliau juga mengingatkan tindakan pihak yang menjual dan mengedar produk itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berulang, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu