Nation
124

KSM cadang laksana modul e-Wages pantau pembayaran gaji pekerja secara masa nyata

Kuala Lumpur – Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang melaksanakan modul e-Wages dalam masa terdekat bagi memantau pembayaran gaji kepada pekerja secara masa nyata.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, langkah itu adalah bagi memastikan gaji pekerja akan dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Gaji pekerja perlu dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum hari ketujuh pada setiap bulan selaras dengan Akta Kerja 1955. Ketika ini, tiada sebarang mekanisme yang diguna pakai dalam pasaran pekerjaan untuk memantau pembayaran gaji kepada pekerja di dalam negara.

“Pelaksanaan e-Wages akan dapat memastikan ketelusan serta mengelakkan perbuatan manipulasi pihak majikan dalam urusan pembayaran gaji kepada pekerja mereka,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu juga secara tidak langsung akan memastikan hak dan kebajikan pekerja terbela selain membolehkan imej serta kredibiliti negara terpelihara khususnya dalam aspek penggajian pekerja asing.

Mengulas insiden seorang pekerja asing yang didapati membunuh diri selepas mendakwa sudah lima bulan tidak dibayar gaji oleh majikannya baru-baru ini, Saravanan berkata perkara itu tidak seharusnya terjadi dalam pasaran buruh terutama ketika negara berdepan krisis ekonomi dan kesihatan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata KSM, melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK), akan menyiasat insiden itu dengan teliti dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap majikan jika dakwaan tersebut didapati benar.

“Saya ingin melahirkan rasa simpati dan dukacita susulan insiden berkenaan,” katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa JTK sedang menyiasat dakwaan sebuah syarikat tidak membayar gaji selama lima bulan kepada seorang pekerja warga Pakistan yang ditemukan mati di tapak pembinaan pada 17 April lalu. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu