Nation
80

KSM, KDN di peringkat akhir perhalusi “e-wages”

Tapah – Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang dalam peringkat akhir memperhalusi sistem “e-wages” yang bakal dilancarkan untuk memastikan setiap pekerja di negara ini termasuk warga asing dibayar gaji dan upah seperti yang dijanjikan majikan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata dengan menggunakan sistem itu, ia dijangka dapat mengawal selia majikan yang tidak membayar atau lewat membayar gaji pekerja di semua sektor yang sering menjadi isu di negara ini.

“Apabila kita amalkan sistem ‘e-wages’ ini dan setiap majikan diwajibkan membayar gaji sebelum 7 haribulan setiap bulan, dan jika mereka tidak bayar, kita akan dapat maklumat awal,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Dermasiswa D’Sara Parlimen Tapah dan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Masjid dan Surau Parlimen Tapah di Kompleks Sukan Tapah di sini.

Saravanan berkata demikian ketika mengulas dakwaan terdapat majikan yang melaporkan kepada Jabatan Imigresen supaya membuat serbuan ke atas pekerja asing mereka sendiri bagi mengelak daripada membayar gaji pekerja.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada KDN yang bersetuju berkongsi platform sedia ada di kementerian berkenaan.

“Walaupun KSM dipertanggungjawabkan membela nasib pekerja sama ada rakyat tempatan atau asing, kita tidak (ada) akses menilai menggunakan platform sedia ada di KDN.

Dengan persetujuan berkongsi platform, maka apabila kita amalkan “e-wages”, kita akan dapat maklumat awal. Tidak perlu tunggu aduan daripada pekerja sebaik majikan mereka tidak bayar, kita akan dapat maklumat dan kita akan ambil tindakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program berkenaan, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata seramai 100 murid Tahun 4 dipilih untuk menyertai program dermasiswa berkenaan yang akan membiayai yuran sekolah mereka serta pelbagai pembelajaan melibatkan pendidikan sehingga tingkatan lima.

“Kesemua perbelanjaan ini akan ditanggung Pertubuhan Pendidikan Anak Tapah yang mana ia adalah usaha melahirkan pelajar cemerlang di Parlimen Tapah yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya sambil berharap sekiranya program itu dapat diperluaskan di parlimen lain dengan bantuan Kementerian Pendidikan.

Selain itu, pada program yang sama, sebanyak 16 masjid menerima peruntukan sebanyak RM4,000 manakala 79 surau menerima sebanyak RM1,800 di Parlimen Tapah. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu