Nation
220

KSM MEMANDANG SERIUS PENYALAHGUNAAN INSENTIF PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI

Kuala Lumpur, 19 Mei 2021-Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memandang serius dakwaan penyalahgunaan maklumat peribadi pekerja dan tuntutan palsu oleh pihak majikan bagi memohon insentif kewangan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi menerusi Program PenjanaKerjaya daripada Kerajaan.

Ini susulan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Sumber Manusia, YB M. Kulasegaran berhubung perkara ini, semalam.

Menurut, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, pihak PERKESO juga telah mengesan satu video yang mendakwa kewujudan sindiket yang melibatkan sebuah syarikat yang dituduh menggunakan data pekerja untuk mendapatkan insentif PenjanaKerjaya 2.0.

Video yang menular sejak minggu lepas telah memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB Kamache Doray Rajoo, meminta pihak Kementerian Sumber Manusia menyiasat aduan ini.

Beliau telah dimaklumkan bahawa pihak PERKESO telah meneliti dakwaan berkenaan dan hasil siasatan awal mendapati terdapat majikan yang tidak bertanggungjawab dan mencuba untuk membuat permohonan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah Program PenjanaKerjaya 2.0.

Rekod PERKESO mendapati caruman pekerja telah dibayar oleh majikan. Walau bagaimanapun, ini merupakan satu taktik yang digunapakai bagi mematuhi syarat kelayakan dalam permohonan program ini.

Pihak majikan juga didapati telah membuat penipuan dokumen setelah borang pengesahan diterima oleh pegawai PERKESO, dengan 36 orang pekerja menandatandatangani dan mengesahkan bahawa mereka masih bekerja di syarikat terbabit.

Datuk Seri M. Saravanan beekata bahawa kes ini kini dalam siasatan Anti-Fraud, Cawangan Etika dan Pematuhan dan sekiranya perlu akan dirujuk kepada agensi penguatkuasa dan menegaskan bahawa mana-mana majikan yang membuat pemalsuan maklumat dan menggunakan data peribadi individu tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Pihak PERKESO juga telah menasihatkan YB Kamache Doray Rajoo untuk membuat laporan polis dengan kadar segera untuk siasatan lanjut.

Menteri Sumber Manusia juga mengarahkan pihak PERKESO untuk meminta majikan memulangkan semula semua wang yang telah dibayar kepada majikan tersebut sekiranya terdapat sebarang unsur pemalsuan.

Selain itu, KSM menerusi PERKESO terus komited untuk melaksanakan amanah yang diberikan Kerajaan selain memberi jaminan bahawa data peribadi yang diterima oleh PERKESO tidak pernah diberikan atau dikongsi kepada pihak ketiga.

Beliau juga menyeru semua pencari kerja tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi melalui medium WhatsApp ataupun media sosial dan majikan pula dinasihatkan untuk membuat permohonan insentif melalui Sistem PenjanaKerjaya di laman sesawang penjanakerjaya.perkeso.gov.my secara terus, dan tidak melalui mana–mana ejen.

Pihak PERKESO tidak pernah melantik mana-mana orang tengah untuk menguruskan permohonan program ini.

Bahagian Perundangan KSM akan bekerjasama dengan PERKESO untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas majikan yang tidak mematuhi syarat- syarat yang ditetapkan.

Sehingga 18 Mei 2021, pihak PERKESO telah menerima 1,758 kes aduan melibatkan bayaran yang meragukan dan isu bayaran gaji pekerja.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,231 kes aduan didapati tidak berasas. Manakala, sebanyak 340 kes disyaki tuntutan palsu dan salah guna. Baki 187 kes pula masih dalam siasatan untuk tindakan selanjutnya.

PERKESO juga telah menerima sejumlah RM 85.1 juta melibatkan lebih daripada 8 ribu majikan yang gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dibawah Program Subsidi Upah dan telah membuat bayaran balik kepada PERKESO .

Untuk sebarang aduan atau pertanyaan, sila hubungi talian khidmat pelanggan PERKESO 1-300- 22-8000 atau 03 80915300 atau emel kepada penjanakerjaya@perkeso.gov.my.

Datuk Seri Saravanan berkata kementerian beliau memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang membuat tuntutan palsu.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu