Nation
168

KSM SAMBUT BAIK PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI (PEMERKASA)

Putrajaya 18/3 – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyambut baik usaha dan perancangan kerajaan melalui pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi atau PEMERKASA bernilai RM20 bilion oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertujuan untuk memulih dan memperkasa semula ekonomi negara bagi tahun ini, semalam.

PEMERKASA menggariskan lima (5) fokus utama dengan tumpuan kepada 20 inisiatif strategik sebagai penggerak untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. KSM secara khusus terlibat dalam fokus kedua iaitu Memacu Pemulihan Ekonomi melalui inisiatif ketujuh, Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian.

Hasil kejayaan yang telah dicapai oleh KSM melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam membantu golongan yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan akibat pandemik COVID-19. Bagi suku keempat tahun 2020, kadar pengangguran berada pada kadar 4.8% berdasarkan Kajian Pasaran Buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kerajaan telah menambah baik program PenjanaKerjaya 2.0 dengan memperluaskan skop insentif pengambilan pekerja meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig seperti berikut:

i. peruntukan RM300 juta yang akan memanfaatkan 60,000 pekerja, di mana setiap pekerja akan menerima RM600 sebulan selama tempoh maksimum enam (6) bulan; dan
ii. majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan PERKESO akan menerima RM200 bagi setiap pekerja yang ditempatkan.

Selain itu, program perantisan di bawah PenjanaKerjaya turut ditambah baik di mana tempoh tiga (3) bulan sebelum ini akan dilanjutkan selama enam (6) bulan dan pelatih yang mengikuti program perantisan ini akan diberi insentif sebanyak RM800.

Walaupun Program Subsidi Upah telah berjaya membantu 2.7 juta pekerja dan lebih daripada 330,000 majikan, namun masih terdapat sektor yang terkesan akibat COVID- 19. Sehubungan itu, Program Subsidi Upah 3.0 akan dilanjutkan dengan peruntukan RM700 juta selama tiga (3) bulan lagi secara lebih bersasar terutamanya sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, pusat sukan gimnasium dan spa yang akan memanfaatkan 400,000 pekerja dan 37,000 majikan.

Dalam pada itu, peruntukan sebanyak RM10 juta dalam bentuk dana padanan 70% bagi usahawan wanita dan wanita bekerja sendiri turut disediakan untuk pembiayaan caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO.

Beberapa inisiatif turut diperkenalkan oleh PEMERKASA melalui Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRDF) iaitu:
i. Platform UpskillMalaysia yang berperanan sebagai pusat maklumat bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula; dan
ii. Portal e-LATiH yang mengandungi lebih 300 kursus latihan dalam talian yang ditawarkan secara percuma kepada semua.

KSM komited terhadap tanggungjawab yang diamanahkan khususnya dalam menangani cabaran dan implikasi wabak pandemik COVID-19 terhadap pasaran buruh.

KSM akan giat dalam usaha memastikan inisiatif-inisiatif yang digariskan dibawah PEMERKASA direalisasikan dan memberi manfaat kepada golongan yang disasarkan.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu