Nation
389

KSM sedang ambil tindakan ke atas lebih 5,000 aduan diterima melalui WFW

Tapah – Kementerian Sumber Manusia sedang mengambil tindakan ke atas lebih 5,000 jumlah aduan terkumpul yang diterima menerusi aplikasi Working For Workers (WFW) berhubung pelbagai isu buruh terutamanya tidak membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR).

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata walaupun amaran telah diberikan kepada majikan yang ingkar namun, sehingga kini pihaknya masih menerima aduan daripada warga kerja berserta pelbagai ugutan.

“Saya sering menerima aduan bahawa majikan mengambil kesempatan mengarahkan pekerja terus bekerja walaupun kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi syarikat yang dibenarkan beroperasi.

“Kementerian Sumber Manusia sedang ambil tindakan dan tidak lama lagi dalam masa terdekat kita akan keluarkan dua dasar iaitu bekerja dari rumah dan dasar mengikut SOP,” katanya pada sidang media program Agihan Bakul Makanan di Dewan Mahatma Gandhi di sini hari ini, lapor Bernama.

Menurutnya, kebanyakan aduan yang diterima daripada warga kerja mendakwa mereka dipaksa oleh majikan untuk datang bekerja dan setakat semalam, sebanyak 5,177 aduan terkumpul dari seluruh negara sejak aplikasi ini diperkenalkan pada 3 Mei lepas.

Beliau berkata para pekerja yang ingin membuat aduan tidak perlu pergi ke pejabat buruh kerana ia boleh dibuat secara terus menerusi aplikasi WFW dan tindakan akan diambil dengan segera dalam tempoh tujuh hari.

Sementara itu, mengulas mengenai bantuan makanan, Saravanan yang juga merupakan Ahli Parlimen Tapah berkata sejumlah 37,000 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk di Tapah sejak awal PKP tahun lepas manakala bagi sumbangan bakul makanan di bawah program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pula sebanyak 7,000 bakul telah diedarkan setakat ini.

“Walaupun saya lihat peruntukan RM300,000 yang diberikan oleh Perdana Menteri bagi program PEMULIHAN ini tidak mencukupi namun, usaha baik ini akan diteruskan daripada pelbagai sumber bagi memastikan warga Tapah tidak menghadapi masalah makanan memandangkan kawasan di sini bukanlah daripada golongan berada maka bantuan seperti ini amat diperlukan oleh mereka.

“Setakat hari ini, kira-kira 13,000 keluarga telah menerima bantuan bermula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama dan ini tidak termasuk 3,000 warga Orang Asli yang turut diberi bungkusan makanan kerana Parlimen Tapah merupakan satu daripada kawasan yang begitu ramai Orang Asli,” jelasnya.

Pada 2 Julai lepas, antara negeri yang dilapor merekodkan paling banyak jumlah aduan majikan tidak membenarkan pekerja BDR ialah Selangor dengan 696 aduan, diikuti Kuala Lumpur (505 aduan), Johor (196 aduan) dan Pulau Pinang (123 aduan).

Sejumlah 59 kompaun berkaitan ketidakpatuhan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja telah dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi tempoh 1 Jun hingga 1 Julai, katanya.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu