Nation
162

KTMB tawar diskaun RM10 bagi perkhidmatan ETS mulai April

Kuala Lumpur – Pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan dapat menikmati potongan diskaun RM10 bagi setiap tiket di bawah kempen promosi Cuti-Cuti Malaysia bermula April ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata kempen dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) itu akan berlangsung selama tiga bulan hingga 30 Jun ini.

“Selaras pelancaran kempen ini, KTMB juga ingin memaklumkan jualan tiket bagi perkhidmatan ETS untuk perjalanan 1 April hingga 30 September 2021 akan dibuka mulai esok 15 Mac, dengan sebanyak 24 perkhidmatan ETS disediakan menggunakan jadual waktu sedia ada.

“Jualan tiket ini dibuka bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal untuk bercuti di dalam negeri tertakluk kepada arahan semasa oleh pihak kerajaan,” demikian menurut kenyataan KTMB hari ini.

Bagaimanapun diskaun berkenaan hanya boleh dinikmati pengguna yang membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB.

Langkah itu bertujuan menggalakkan penggunaan secara dalam talian sesuai dengan norma baharu Perintah Kawalan Pergerakan susulan Covid-19, kata KTMB.

Menurut kenyataan itu, promosi diskaun di bawah kempen berkenaan akan diperluas untuk merangkumi perkhidmatan KTM Antarabandar dalam masa terdekat. — Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu