Nation
107
0

Kuantan diisytihar bandar raya

Kuantan – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Kuantan sebagai bandar raya.

Pengisytiharan itu turut menyaksikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dilantik sebagai Datuk Bandar Kuantan pertama.

Upacara istiadat pengisytiharan bermula dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin menyerahkan Surat Cara Pemasyhuran Kuantan sebagai bandaraya kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Rosdy Wan Ismail sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Baginda kemudian berkenan menandatangani plak pemasyhuran Majlis Bandaraya Kuantan dan plak perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan EXCO Pahang.

Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan diadakan susulan kelulusan diberi Kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019 dan pemilihan 21 Februari dibuat selepas beberapa kali ditunda berikutan pelbagai faktor termasuk COVID-19.

Kuantan bertukar status dari bandar kepada perbandaran pada 1 September 1979.

Majlis pemasyhuran yang disambut secara sederhana hari ini menjadi detik bersejarah dan kebanggaan bagi warga Kuantan dan rakyat Pahang amnya. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu