Social
260
0

Kucing diseksa, dibunuh kejam

Kuala Lumpur – Luluh hati pemilik seekor kucing apabila menemui haiwan peliharaannya mati dalam keadaan tragis dengan keempat-empat kakinya ‘hilang’ dipercayai dipotong.

Mur Salina Junaidi, 20, tidak menyangka panggilan telefon diterima daripada bapa saudaranya tengah hari semalam, membawa berita duka mengenai kucing kesayangan yang diberi nama ‘Cantik’ itu.

“Sebenarnya, ayah enggan saya memperbesarkan hal ini, tetapi saya tekad membuat laporan demi keselamatan keluarga kami kerana saya bimbang jika pelaku berkenaan cuba memberi isyarat tidak baik dengan cara membunuh Cantik.

“Saya berharap perkara ini mendapat perhatian pihak berkuasa dan pada masa sama, saya berterima kasih kepada semua warganet yang prihatin dan memberi kata-kata semangat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, dalam kenyataan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan kes diserahkan kepada Jabatan Veterinar Selangor.

“Semua kes berkaitan penganiayaan haiwan akan dijalankan oleh jabatan itu seperti kes penganiayaan kucing yang dilemaskan dalam mesin basuh tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, Cantik ditemui dalam kotak bertutup dengan surat khabar diletakkan di belakang kereta bapa saudaranya, Nur Hakim Bakhtiar, 29, yang kemudian menghubunginya memaklumkan mengenai berita sedih itu.

“Saya dihubungi pak cik kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika waktu rehat dan baru hendak keluar untuk makan.

“Pak cik beritahu apa yang berlaku ke atas Cantik dan tanpa berlengah saya terus bergegas pulang ke rumah.

“Menggigil seluruh badan apabila melihat bangkai Cantik dan saya hanya mampu menangis kerana terlalu sedih. Cantik mati dalam keadaan sedang bunting dan menunggu hari untuk melahirkan anak,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau juga berasa amat sedih melihat Cantik mati dalam keadaan sedemikian dan tidak menyangka ada individu yang sanggup membunuh haiwan tidak berdosa itu dengan cara yang kejam.

“Saya tidak dapat gambarkan bagaimana keadaan dan kesakitan dirasai Cantik ketika diperlakukan sebegitu.

“Apa yang saya nampak, kaki Cantik dicabut dan dipatahkan sendiri oleh pelaku, bukan dikerat dengan peralatan tajam.

“Lebih menyedihkan apabila melihat terdapat najis terkeluar daripada duburnya, mungkin kesan menahan sakit yang teramat dan keadaan itu menunjukkannya seperti didera sewaktu masih bernyawa lagi,” katanya.

Mur Salina yang bekerja sebagai setiausaha dan menetap di Taman Harmoni, Gombak, di sini, berkata kucing berusia setahun enam bulan itu dipeliharanya sejak dua tahun lalu.

Terkilan dengan apa yang berlaku, dia nekad berkongsi kisah itu menerusi ciapan di Twitter, semalam dan mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya sedih dengan nasib menimpa kucing itu.

Kebanyakan netizen meluahkan rasa marah dan menyifatkan pelakunya sebagai seorang yang tiada perikemanusiaan terhadap haiwan.

Selain itu, Mur Salina bersama bapa saudaranya membuat satu laporan di Balai Polis Gombak, kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu