PETALING JAYA — Polis giat mengesan sekumpulan penyokong bola sepak yang disyaki terbabit dalam insiden kekecohan di sebuah stadium di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly, berkata polis mengesan dua rakaman video kekecohan itu yang tular pada jam 10.15 pagi Isnin.
“Siasatan awal mendapati kejadian disyaki bermula sejurus tamat perlawanan liga tempatan kira-kira jam 11 malam.
“Kekecohan menyebabkan pintu jeriji besi di laluan masuk ke tempat duduk penyokong dirosakkan,” katanya dalam kenyataan,
Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.