Nation
249

Kutipan hasil Kastam 2021 cecah RM42.50 bilion, lepasi sasaran RM40 bilion : PM

Petaling Jaya – Kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi 2021 mencecah RM42.50 bilion, melepasi sasaran awal RM40 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap merasmikan Hari Kastam Sedunia ke-40 hari ini, Perdana Menteri berkata tahun 2021 juga menyerlahkan keunggulan sektor penguatkuasaan Jabatan Kastam, apabila berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.

“Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota Jabatan Kastam atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik COVID-19 dan bencana alam.

“Dengan prestasi sebegini, saya amat yakin Jabatan Kastam akan terus bergerak maju sebagai ‘Economic Frontliners’ atau Petugas Barisan Hadapan Ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia,” katanya.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta dua timbalannya Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Yamani Hafez Musa, dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata tema sambutan Hari Kastam ‘Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data’, amat relevan dengan situasi semasa selain bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan dan operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata ini termasuk usaha ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik mahupun antarabangsa

Selain itu Ismail Sabri berkata perkembangan teknologi digital, khususnya dalam sektor perkongsian data serta maklumat merupakan platform yang penting dan telah diaplikasi secara meluas dalam meneruskan kelangsungan perkhidmatan awam, terutama dalam mendepani dampak COVID- 19.

“Sebagai sebuah jabatan yang dinamik dan mampan, Jabatan Kastam perlu memastikan segenap warga Kastam celik digital dan sentiasa bersedia untuk mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina serta membudayakan ekosistem data,” katanya.

Perdana Menteri berkata ia juga selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) ke arah memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu