Social
106
0

Lakaran wajah penyamun sorok bayi dalam tong diedar

George Town – Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini mengedarkan lakaran wajah salah seorang penyamun yang bertindak menyembunyikan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan di dalam tong polisterina di kediaman keluarga mangsa di flat Jalan Van Praagh, Jelutong di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki dipercayai berketurunan Cina berusia dalam lingkungan 30-an itu antara dua suspek yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi.

Menurutnya, pihak polis kini giat memburu suspek-suspek terbabit berdasarkan laporan dan lakaran wajah yang diperoleh hasil maklumat daripada keluarga bayi tersebut.

“Polis sedang meneliti sistem rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan lif flat berkenaan bagi mengesan indentiti suspek terbabit.

“Kita difahamkan, suspek naik ke rumah mangsa di aras lima dengan menggunakan tangga bagi elak dikesan atau dikenalpasti pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan suspek menerusi lakaran wajah yang diedarkan hari ini di mana-mana balai polis berdekatan atau kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nurfaiz Fathi Marhom di talian 04-2825922 (sambungan 228).

Semalam, Kosmo! Online melaporkan seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila bayi lelakinya berusia tiga bulan hilang selepas disorokkan oleh dua penyamun yang menyamar wakil syarikat kurier.

Suspek dikatakan bertindak demikian selepas mereka gagal memperolehi wang sebanyak RM50,000 seperti yang dimahukan.

Bayi lelaki tersebut akhirnya ditemui dalam keadaan mulutnya disumbat dengan tuala kecil dan ditampal pita pelekat di dalam tong bilik rumah mangsa kira-kira sejam kemudian. – Kosmo Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu