Social
192
0

Laman Aisha Weddings disiasat polis

Jakarta – Isu hangat berkenaan laman web kahwin muda Aisha Weddings di Indonesia dilaporkan sedang dalam siasatan polis dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Perlindungan Anak (PPPA), lapor Liputan6, hari ini.

Menteri PPPA, I Gusti Ayu Bintang Puspayoga berkata mengahwinkan kanak-kanak di bawah umur adalah satu risiko besar kerana mereka belum matang dari segi kewangan, fikiran dan pendidikan.

“Alasan mengahwinkan anak bawah umur kerana tidak mahu mereka mati kelaparan adalah sebab yang tidak munasabah dan mementingkan diri sendiri.

“Kerajaan memberikan bantuan sosial setiap bulan kepada keluarga yang memerlukan ketika penularan pandemik Covid-19, jadi alasan kelaparan itu tidak boleh diterima,” katanya dalam satu sidang media khas PPPA, semalam.

Dalam masa sama, Ketua Pengarah Aplikasi Informasi (Dirjen Aptika) Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Samuel Abrijani Pangarepan, mengatakan bahawa pihaknya sudah tidak menemui laman web dan Facebook Aisha Weddings.

Samuel berkata akaun tersebut sudah dipadam atau ditarik balik oleh pemilik web setelah isu ini menjadi tular dan mendapat perhatian pihak berkuasa.

“Laman web dan facebook Aisha Weddings sudah tidak dapat ditemukan. Mungkin pemiliknya bertindak memadamkan platform itu,” katanya.

Sementara itu, Polis Daerah (Polda) Metro Jaya mengesahkan menerima laporan dari Sahabat Millenial Indonesia (Samindo) mengenai laman web Aisha Weddings.

“Laporan tersebut telah diserahkan kepada Bahagian Informasi Jenayah Polda Metro Jaya. Polis kini dalam proses mengesahkan maklumat dalam laporan yang diterima,,” kata Ketua Perhubungan Awam Polda Metro Jaya, Komisioner Besar Yusri Yunus di Ibu Pejabat Polis Metro Jaya, Jakarta.

Yusri juga menjamin bahawa siasatan kes akan berterusan walaupun pemilik Aisha Weddings sudah memadamkan laman web tersebut.

“Jejak digital tidak akan hilang meskipun akaun atau laman webnya dipadam atau ditarik balik,” katanya.

Awal minggu ini, promosi kahwin muda dan poligami yang dibuat oleh Aisha Weddings yang menggalakkan perkahwinan bawah umur seawal usia 12 tahun menimbulkan kemarahan masyarakat tempatan.

Alasan kahwin awal yang diberikan oleh laman web itu adalah bagi mengelakkan anak-anak tergoda dengan nafsu, menyelamatkan mereka daripada kelaparan dalam keluarga miskin dan membantu meringankan beban ibu bapa di kala berdepan impak pandemik Covid-19. – Agensi

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu