Social
841

Lamborghini dinaiki 3 sekeluarga terbakar dalam kemalangan

Kuantan – Sebuah kenderaan mewah jenis Lamborghini dinaiki tiga sekeluarga musnah terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 178.1, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), dekat sini, lewat petang semalam.

Difahamkan kenderaan dipandu lelaki berusia 28 tahun itu sedang menghala ke Terengganu sebelum dipercayai terbabas dan terbakar di lokasi berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Maran, Samsul Effendi Sulaiman berkata, mangsa bersama isteri dan seorang anak berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan itu sebelum ia terbakar.

“Kemalangan ini dilaporkan jam 6.16 petang (semalam) membabitkan sebuah kenderaan jenis Lamborghini dan ketika kejadian, pemandu berusia 28 tahun, isteri dan seorang anak mereka sempat menyelamatkan diri.

“Kenderaan itu dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum terbakar.

“Susulan daripada maklumat diterima, sembilan anggota dari BBP Maran bersama jentera dan ambulan ke lokasi untuk operasi menyelamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Samsul Effendi berkata, pegawai dan anggota bomba cuba memadamkan kebakaran kenderaan mewah itu, namun gagal berikutan api marak terlalu cepat menyaksikan kereta terbabit musnah sepenuhnya. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu