Social
238

Langgar SOP: 25 warga Bangladesh didenda RM5,000

Georgetown – Seramai 25 lelaki warga Bangladesh didenda RM5,000 tiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam membanteras penularan COVID-19 dengan berhimpun beramai-ramai sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Selasa lepas.

Hakim Norsalha Datuk Hamzah menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh yang berusia antara 23 dan 41 tahun, termasuk empat yang tidak mempunyai dokumen perjalanan, membuat pengakuan bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan semua mereka yang bekerja sebagai buruh binaan itu, masing-masing dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa berhimpun beramai-ramai di sebuah rumah di Taman Desa Mutiara Indah, Batu Maung kira-kira pukul 9 malam, 20 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) yang boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) Peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika di sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid manakala 21 tertuduh yang mempunyai dokumen perjalanan diwakili peguam Muhammad Arif Shaharuddin, sementara empat lagi yang tiada dokumen tidak diwakili peguam, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu