Social
175

Langgar SOP, 8 individu dipanggil polis

Petaling Jaya – Polis memanggil lapan individu bagi dirakam keterangan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah kediaman di Kampung Baru, Batu Caves dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri pada pukul 3 petang.

“Suspek yang merupakan menantu kepada pemilik rumah telah merakam video tersebut yang memaparkan keadaan rumah mertua suspek ketika hari raya.

“Menerusi rakaman tersebut turut kelihatan terdapat beberapa orang tetamu sedang berada di dalam dan pekarangan rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video di media sosial berdurasi 16 saat yang memaparkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah rumah yang dipenuhi tetamu.

Mengulas lanjut, semakan mendapati kesemua tetamu yang berada di dalam rumah tersebut adalah dari kalangan ahli keluarga suami suspek.

“Dalam masa yang sama ahli keluarga suami suspek juga tinggal di sebuah rumah berasingan yang jaraknya lebih kurang 20 meter dari rumah tersebut yang turut berkunjung ke rumah suspek pada masa kejadian.

“Ekoran daripada kejadian tersebut, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 17 PPPDPB 2021 (Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021),” ujarnya.

Tambah Arifai, setakat ini, polis telah memanggil seramai lapan orang suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita berusia 18 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan. – Kosmo Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu