Nation
502

Langgar SOP : Pejabat Syed Saddiq diarah tutup

Johor Bahru – Pejabat Ahli Parlimen Muar diarah tutup mulai hari ini kerana tidak mendapat kebenaran untuk mengadakan program penyerahan bantuan, selain tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya membuat permohonan untuk melakukan agihan bantuan dari rumah ke rumah dan bukan secara berpusat di pejabat berkenaan.

Beliau juga menjelaskan arahan menghentikan program serahan di pejabat wakil rakyat itu dibuat oleh penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Muar, selepas pegawai kesihatan melihat sendiri program yang dihadiri lebih 100 orang itu, gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dibenarkan untuk menjalankan aktiviti bantuan tetapi perlu mendapat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah.

“Saya difahamkan permohonan ada dibuat tetapi permohonan itu untuk mengedarkan bakul makanan dari rumah ke rumah, tetapi apa yang berlaku adalah pengedaran barangan dibuat di Pusat Khidmat Parlimen Muar jadi ramai yang berkumpul,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Susulan itu, pihak berkuasa hanya mengeluarkan amaran kepada pihak terlibat dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan, katanya.

Semalam, Syed Saddiq dalam laman Facebooknya memuat naik status mengenai Pejabat Ahli Parlimen Muar telah diarahkan tutup, mulai hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan mengesahkan penahanan seorang lelaki Rohingya yang dikenali sebagai ‘Long Tiger’ pada Isnin (12 Julai) kerana dipercayai mengurung bekas pekerjanya.

Lelaki itu direman empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah), katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu