Nation
340

Langgar SOP : Polis sudah rakam keterangan Mahfuz

Alor Setar – Polis sudah merakam percakapan 13 individu termasuk Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bagi membantu siasatan dakwaan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam satu program bantuan yang tular di laman sosial, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata selain Mahfuz, pihaknya turut mengambil keterangan pengadu, pemberi maklumat dan beberapa individu dalam gambar tular berkenaan.

Polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut termasuk melakukan pendakwaan mahkamah.

“Mahfuz memberi kerjasama baik dan percakapan beliau diambil sekitar jam 5.30 petang hingga 7.30 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar semalam.

“Sebahagian individu lain pula hadir memberi keterangan di Balai Polis Langgar bermula jam 9 malam tadi hingga selesai,” katanya hari ini.

Ahmad Shukri berkata, beberapa individu terbabit termasuk setiausaha Ahli Parlimen itu dan penduduk kampung yang hadir dalam program bantuan itu yang berlaku pada Jumaat, 2 Jun lalu.

“Berdasarkan keterangan, program itu tidak dirancang dan beliau (Mahfuz) menerima panggilan daripada penduduk kampung terbabit untuk mendapatkan bantuan menyebabkan beliau terus hadir.

“Bagaimanapun, ada individu dikatakan merakam gambar untuk tujuan simpanan, tetapi tersebar di laman sosial dan dia (Mahfuz) mengaku apa yang dipaparkan memang berlaku,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya tidak menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk terputus bekalan makanan, namun penganjur perlu bertanggungjawab dalam memastikan mereka yang hadir mematuhi SOP.

Kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2020.

Sabtu lalu, tular gambar seorang Ahli Parlimen duduk di atas meja sambil bersila dan minum teh serta bersembang santai secara terbuka ketika dalam satu program bantuan.

Orang ramai kemudian mempertikai tindakan Ahli Parlimen terbabit sedangkan ketika ini Kedah masih dalam pelaksanaan Fasa 1 Kawalan Pergerakan, Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang mana tidak dibenarkan sebarang bentuk majlis keramaian, lapor BH Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu