Social
537

Lapan ahli geng 21 & 08 ditahan

Jasin – Polis Melaka menahan lapan lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ketika sedang berkumpul sambil minum arak di padang permainan Taman Air Merbau di sini pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata kesemua lelaki berusia 30 hingga 43 tahun dipercayai ahli geng 21 dan 08 itu ditahan dalam Op Cantas kira-kira 11.30 malam.

“Hasil pemeriksaan dilakukan ke atas tubuh badan semua suspek, tujuh daripada lapan lelaki berkenaan mempunyai beberapa tatu disyaki ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap 21 dan 08.

“Kesemua lelaki berasal dari Jasin itu ditahan untuk membantu siasatan lanjut bagi mengenal pasti sekiranya mereka terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Majid berkata siasatan kes mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan.

Beliau berkata kesemua suspek juga dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 iaitu berkumpul dan minum minuman keras.

Katanya, polis Melaka memandang serius sebarang aktiviti kumpulan kongsi gelap dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang terlibat.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat dan sentiasa menyeru agar masyarakat sentiasa menyalurkan maklumat kepada Polis Melaka bagi membantu membanteras jenayah,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu