Nation
254

Laporan insiden kemalangan LRT ke kabinet Rabu

Putrajaya – Laporan siasatan insiden kemalangan membabitkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei lepas akan dihantar ke mesyuarat kabinet Rabu depan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, laporan itu akan merangkumi cadangan-cadangan ke arah menambah baik keselamatan pengangkutan awam dan menghalang insiden sama daripada berulang.

“Hasrat kerajaan adalah untuk berterusan mencari cara dan jalan terbaik bagi menambah baik aspek keselamatan pengangkutan awam bagi pengguna, sebagai keutamaan tertinggi,” katanya.

Insiden pada pukul 8.33 malam 24 Mei lepas menyaksikan sebuah tren tanpa penumpang bertembung dengan sebuah tren yang membawa 213 penumpang dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan stesen LRT KLCC.

Wee berkata satu jawatankuasa siasatan yang diketuai oleh ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, yang dibentuk sejurus selepas kejadian, dan diberi masa 14 hari untuk melengkapkan siasatan dan memaklumkannya kepada kabinet.

“Siasatan bertujuan menentukan faktor yang menyumbang kepada insiden malang itu dan bukannya bertujuan mencari kesalahan atau menunding jari terhadap mana-mana pihak,” katanya.

“Jawatankuasa sembilan orang itu dengan pantas mula mengumpulkan segala dokumen, data, dan pelbagai maklumat lain yang berkaitan keselamatan serta operasi teknikal, di samping mengadakan beberapa mesyuarat bagi menyemak dan mengkaji maklumat berkenaan,” tambahnya.

Wee berkata semasa siasatan, jawatankuasa itu telah memeriksa pelbagai aspek berkaitan operasi dengan menyemak prosedur operasi standard (SOP), menual operasi, buku panduan, dan lain-lain yang berkaitan dengan dokumen panduan.

Menurutnya data dikumpulkan menerusi rakaman litar tertutup CCTV, temu ramah dengan mereka yang terlibat dengan operasi, serta perbincangan teknikal dengan pembekal teknologi; semuanya terkandung dalam laporan itu.

Beliau berkata lawatan telah dibuat ke pusat kawalan operasi LRT Kelana Jaya pada 1 Jun oleh anggota jawatankuasa siasatan, dengan sesi simulasi pelanggaran untuk memberikan gambaran lebih jelas mengenai insiden itu ditampilkan oleh Prasarana Malaysia Bhd pada hari yang sama. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu