Nation
188

Larangan aktiviti, majlis sosial PRN Melaka perlu dikaji semula : Ahli Parlimen

Kuala Lumpur – Beberapa Ahli Parlimen yang mengambil bahagian pada sesi perbahasan merungkai Ordinan-ordinan Darurat di Dewan Rakyat hari ini mempersoalkan larangan aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) meminta kerajaan memperhalusi keputusan itu yang berkuat kuasa hari ini hingga 27 Nov, dengan membenarkan aktiviti ringkas diadakan seperti lawatan rumah ke rumah.

“Saya sendiri sebagai anggota yang menyokong kerajaan, saya tak boleh terima apabila disebut sebarang aktiviti berkenaan pilihan raya adalah tidak dibenarkan.

“Saya minta kerajaan semak semula supaya ada perkara-perkara yang boleh dilakukan seperti ceramah kecil-kecilan, rumah ke rumah dan pertemuan kecil-kecilan,” katanya.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) ketika mencelah perbahasan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) pula mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) sedemikian diwujudkan sedangkan Melaka kini sudah berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.

“Restoran sudah penuh, ‘mall’ penuh, kenduri kahwin boleh dibuat, kuliah boleh dibuat tetapi ceramah tidak boleh, rumah ke rumah tak boleh, kempen tak boleh,” katanya.

Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) berkata kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu lebih jelas mengenai timbulnya dwistandard yang tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya sebaliknya dijalankan perlu mengikut SOP yang lebih ketat berbanding PRN Sabah.

Sebagai contoh, beliau berkata Singapura, yang mengadakan pilihan raya umum tahun lepas membenarkan ‘party political broadcast’ secara saksama antara semua parti yang bertanding.

“Saya meminta kerajaan memberi jaminan yang sama, ya kita ada media sosial, kita boleh hantar surat dan sebagainya…kita perlu bagi akses yang sama kepada semua parti bertanding.

“Kalau yang bertanding itu Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, bagi sama rata. Kita sebagai wakil rakyat kita minta jaminan ini dan ini sepatutnya dijadikan ‘reference point’ bila kita bergerak berhadapan dengan pilihan raya lain akan datang,” katanya.

Bagi Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau), beliau mengalu-alukan pengumuman kerajaan yang melarang sebarang aktiviti dan perhimpunan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak COVID-19.

Beliau turut mencadangkan SOP ketat bagi PRN Melaka antaranya melarang perhimpunan penyokong pada hari penamaan calon yang ditetapkan 8 Nov dan hari pengundian pada 20 Nov, serta mengurangkan bilangan pemilih di setiap pusat mengundi pada satu-satu masa.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan selain aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial, penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya turut tidak dibenarkan.

Berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM), Khairy berkata antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster COVID-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi SOP.

Seramai 18 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan bagi mengungkai tujuh ordinan darurat iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Dewan Rakyat kali ini akan bersidang selama 32 hari sehingga 16 Dis, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu