Social
350
0

Larikan diri dan cuba langgar polis

Kuala Lumpur -Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan yang dinaiki dua individu dipercayai di bawah pengaruh dadah selepas melarikan diri dan cuba merempuh dua anggota polis dalam kejadian di Jalan Gurney dan Jalan Raja Chulan, Khamis lepas.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, sepasukan anggota polis mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier di Jalan Gurney yang dipandu lelaki berumur 26 tahun bersama seorang wanita berumur 24 tahun dalam keadaan mencurigakan, namun enggan berhenti selepas diarahkan berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata sebaliknya, suspek bertindak memecut kenderaannya ke arah Jalan Tun Razak sebelum terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Apabila anggota polis menghampiri kenderaan tersebut suspek cuba melanggarnya menyebabkan satu das tembakan terpaksa dilepas ke arah tayar belakang kereta itu.

”Bagaimanapun, suspek meneruskan pemanduan secara melulu dan berbahaya ke arah pusat bandar serta melanggar beberapa kenderaan serta cuba melanggar seorang anggota trafik di Jalan Raja Chulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek kemudiannya berjaya ditahan di hadapan Lot 10, Bukit Bintang akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Rajab berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melarikan diri kerana takut ditahan polis disebabkan berada dalam pengaruh dadah dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu dan ganja.

Semakan juga mendapati suspek lelaki mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, curi dan pecah rumah. Kedua-dua suspek kini direman lima hari sehingga Selasa depan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 akta yang sama, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 bagi kesalahan memiliki buku lima besi.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang anggota polis trafik cuba memecahkan cermin sebuah pacuan empat roda menggunakan topi keledar selepas pemandu itu cuba melanggar pihak berkuasa yang menahannya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu