Kuala Lumpur Post

Nation

Lawatan ke Jepun berjaya, tarik potensi pelaburan RM6.56 bilion : PM Anwar

TOKYO — Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun sempena sidang kemuncak peringatan ASEAN-Jepun berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion.

Anwar berkata pertemuan beliau dengan pelbagai pihak di Jepun termasuk rakan sejawatannya Fumio Kishida jelas menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Jepun kini menyaksikan anjakan baharu dari segi kerjasama pelaburan, perdagangan, pendidikan dan teknologi.

“Lawatan ke Jepun berjaya dan membanggakan, berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion,” katanya pada sidang akhbar mengakhiri lawatan beliau ke Jepun, di sini, hari ini.

Menurutnya, ia merupakan tambahan kepada potensi pelaburan bernilai RM23 bilion semasa lawatan delegasi Malaysia ke Jepun sebelum ini pada Jun. Potensi pelaburan kumulatif daripada lawatan ke Jepun pada tahun ini berjumlah RM29.56 billion.

Tiga syarikat korporat Jepun Rohm Wako, NEC Co Ltd dan Mitsui & Co yang telahpun mempunyai pelaburan di Malaysia juga menunjukkan kesediaan untuk menambah pelaburan mereka.

Perdana Menteri berkata potensi pelaburan itu adalah kemungkinan dalam bentuk pelaburan baharu ataupun mengembangkan pelaburan sedia ada.

Pada Sabtu lepas Anwar mengadakan pertemuan bersemuka dengan tiga syarikat korporat tersebut serta sesi persidangan meja bulat dengan pelbagai peneraju industri di negara matahari terbit itu.

Mengenai sektor yang terlibat dalam potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam sidang akhbar yang sama berkata ia melibatkan sektor tenaga boleh baharu, elektrik dan elektronik, kimia dan ekonomi digital.

Menurut Anwar, pelabur Jepun kini lebih yakin dengan Malaysia dan media negara tersebut juga banyak menyiarkan reviu positif tentang Malaysia.

Syarikat Jepun termasuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) menunjukkan minat yang sangat menggalakkan termasuk Rohm Wako yang mempunyai pelaburan di Kota Bahru, Kelantan.

Anwar berkata beliau memberi jaminan kepada syarikat itu bahawa kerajaan akan menyediakan prasarana yang perlu untuk membolehkan mereka menambah pelaburan besar peringkat kedua.

“Memandangkan mereka sudah lama melabur di situ (Kelantan) dan kini menunggu lampu hijau kerajaan persekutuan sama ada pelaburan boleh dikembangkan, saya berikan galakan yang kuat dan permintaan itu akan diselaraskan oleh MITI agar hal ini dapat dibuat secepat mungkin.

“Mereka juga puas hati dengan disiplin dan etika kerja masyarakat di situ yang mana ia merupakan satu lagi daya tarikan kepada pelabur,” katanya.

Tags: , ,