Kuala Lumpur Post

Nation

Lawatan rasmi PM Anwar ke India diisi jadual padat

NEW DELHI — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jadual yang padat sempena lawatan tiga hari ke India, dengan pertemuan dengan syarikat, menyampaikan syarahan dan bertemu rakan sejawat, Narendra Modi.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzaffar Shah Mustafa, berkata Perdana Menteri dijangka tiba di New Delhi sekitar jam 9.40 malam ini waktu tempatan (12.10 malam waktu Malaysia) bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari.

Sejurus tiba, beliau bersama delegasi Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Digital serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dijadual mengadakan perjumpaan dengan tiga syarikat tempatan, iaitu Tata Consultancy Services, Emami Agrotech Ltd dan HCLTech.

Acara sambutan rasmi Anwar akan diadakan di perkarangan kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan di sini, disusuli upacara meletakkan kalungan bunga sebagai tanda penghormatan di Tugu Peringatan Ghandi di Kompleks Memorial Raj Ghat.

Perdana Menteri kemudian dijadual menerima kujungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaisankar Prasad, disusuli perjumpaan dua hala tertutup dengan Modi.

Beliau juga dijangka menyaksikan beberapa majlis menandatangani memorandum persefaham (MoU) membabitkan kedua-dua negara.

Anwar turut dijadual menyampaikan syarahan bertajuk ‘Ke arah Pembangunan Global Selatan, Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India’ pada program Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA).

Menyertai Perdana Menteri dalam lawatannya ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut serta, Menteri Digital, Gobind Singh serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pertemuan Perdana Menteri dengan Modi di sini adalah yang kedua selepas pertama kali pada Januari 2019. pemipin India itu pernah ke Malaysia ketika kepimpinan Datuk Seri Najib Razak pada 23 November 2015.

Sebagai simbolik persabahatan India dan Malaysia, Najib dan Modi ketika itu merasmikan Gerbang Torana di Little India di Brickfields, Kuala Lumpur, iaitu hadiah kerajaan India kepada Malaysia.

Tiga tahun kemudian, Modi yang dalam perjalanan ke Singapura, singgah di Malaysia untuk mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kejayaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

India dan Malaysia dalam proses untuk memperkukuh rangka kerja bagi menjalankan perdagangan dalam mata wang negara. Justeru lawatan ini diyakini dapat menjana nilai potensi pelaburan serta memperkukuhkan hubungan perdagangan dua hala.

Hubungan ekonomi dua hala kukuh direkodkan dengan nilai perdagangan semasa tahun fiskal 2022-2023 (April-Mac) sekitar AS$20 bilion (RM88.64 bilion).

Dalam aspek pelaburan, HH Healthcare Malaysia melabur dalam hospital di India dan Petronas mempunyai projek penting dalam sektor tenaga. Syarikat Malaysia turut mengendalikan projek jalan raya dan lapangan terbang utama di India.

Selain Malaysia, India juga dilihat mengutamakan hubungannya dengan rantau ASEAN dan komited untuk mengeratkan lagi hubungan itu dengan negara-negara anggota ASEAN selaras Akta Dasar Timur kerajaannya.

Pertemuan Anwar dan Modi juga dijangka membincangkan visi mereka untuk rantau Indo-Pasifik, terutama ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih pengerusi ASEAN pada 2025.