Social
314
0

Lebih 2,000 rakyat Malaysia ditahan di luar negara

Kuala Lumpur – Sejumlah 2,742 rakyat Malaysia ditahan di luar negara sehingga hari ini atas pelbagai kesalahan termasuk kes dadah, penipuan, pemalsuan kad kredit serta kesalahan kastam dan imigresen.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata bilangan tahanan itu adalah berdasarkan maklumat yang diterima Perwakilan Malaysia di luar negara.

Beliau berkata Perwakilan Malaysia di luar negara berperanan menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang ditahan selaras dengan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963.

“Bantuan konsular yang termaktub di bawah akta ini termasuk memaklumkan penahanan kepada pihak keluarga atau waris, serta memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan tahanan sentiasa terpelihara,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai bilangan rakyat Malaysia yang dipenjara di luar negara dan langkah kementerian untuk membantu mereka di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, Perwakilan Malaysia juga boleh membantu mengemukakan senarai firma guaman tempatan untuk dilantik oleh tahanan atau waris sekiranya diperlukan.

Kamarudin berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan setiap warga Malaysia di luar negara dan bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya.

Bagaimanapun katanya, Perwakilan Malaysia perlu menghormati proses perundangan tempatan dan tidak boleh mencampuri hal ehwal perundangan sesebuah negara.

“Seseorang individu yang ditahan di negara asing juga perlu bersedia untuk melalui proses perundangan di negara tersebut,” katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau akan mengadakan perjalanan ke luar negara untuk sentiasa berwaspada serta memahami peraturan dan undang-undang negara berkenaan bagi mengelakkan mereka terjebak dalam perkara tidak diingini.

Menjawab soalan tambahan Richard yang ingin tahu jumlah warga Malaysia yang dipenjara seumur hidup dan dihukum gantung mandatori, Kamarudin berkata beliau tidak mempunyai statistik berhubung perkara itu.

“Tetapi dalam jangkaan dan perkiraan saya, mungkin kesemua ini (kesalahan) hanya melibatkan hukuman yang berbentuk penjara dalam jumlah masa tertentu,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu