Nation
223

Lebih 2,000 skim pelaburan tipu dikesan tahun ini

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima lebih 2,000 pertanyaan dan aduan berkaitan skim pelaburan tidak sah atau penipuan sehingga 30 September lalu.

Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Syed Zaid Albar, berkata pertanyaan dan aduan itu melebihi dua kali ganda daripada jumlah yang dilaporkan pada 2020 dan tindakan segera telah diambil bagi menangani masalah berkenaan.

“Sehingga 30 September tahun ini, ada 202 masukan baharu sudah dibuat dalam senarai Peringatan Pelabur SC, berbanding 134 masukkan untuk keseluruhan tahun 2020.

“Pada tahun ini sahaja, kita menyekat 97 laman web dan tujuh akaun Facebook dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya dalam ucapan pada InvestSmart Fest 2021 (ISF 2021) secara maya, hari ini.

Syed Zaid berkata, skim penipuan kebiasaannya menjanjikan pulangan yang tinggi dalam tempoh singkat, mempunyai risiko yang kecil atau tanpa risiko, dan sering dipromosikan melalui saluran media sosial dengan pembayaran kepada akaun bank yang dikendalikan oleh mereka yang melakukan penipuan.

Selain skim penipuan pelaburan, jumlah aktiviti yang dikendalikan tanpa sebarang lesen atau pendaftaran turut meningkat, katanya sambil memaklumkan pada tahun ini SC telah mengenakan tindakan penguatkuasaan kepada dua pertukaran aset digital asing, memberi amaran dan menyekat laman web mereka yang beroperasi secara tidak sah di Malaysia.

Sehingga 30 September juga, SC sudah menyenaraikan 38 operator dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, merangkumi entiti dan individu berkaitan yang menjalankan perniagaan mengenai nasihat pelaburan tanpa lesen.

“Kami juga telah mengarahkan 29 daripada operator ini untuk berhenti menawarkan nasihat pelaburan yang tidak berlesen.

“Pada kebiasaannya kegiatan ini dijalankan oleh mereka yang mengaku sebagai ‘guru pelaburan’ dengan menawarkan perkhidmatan melalui kumpulan perbualan peribadi berdasarkan langganan di Telegram, WhatsApp dan Facebook.

“Jangan terjebak dengan mereka kerana mereka mungkin menerima nasihat daripada pihak yang tidak layak atau digunakan sebagai sebahagian daripada skim manipulasi pasaran,” katanya sambil menasihatkan rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati apabila melabur dan tidak memasukkan wang pendahuluan kepada akaun bank peribadi sesiapa sahaja.

Beliau turut menegaskan mengenai kepentingan untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan maklumat pelaburan yang tepat.

Bertemakan #JagaDiri #JagaPelaburan, ISF 2021 bertujuan mempromosikan pemerkasaan pelabur dan keyakinan pelabur bagi membolehkan mereka membuat keputusan pelaburan yang tepat tanpa menjadi mangsa penipuan.

Acara maya selama tiga hari itu akan turut mempamerkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengantara pasaran modal termasuk saham, bon, unit amanah, skim persaraan swasta, dana dagangan bursa, pendanaan ekuiti ramai, pembiayaan rakan setara, pengurusan pelaburan digital dan pertukaran aset digital, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu