Nation
218

Lebih 30% penerima PeKa B40 hidap penyakit tidak berjangkit

Putrajaya – Kira-kira 33 peratus atau 151,729 individu daripada 457,462 orang dalam kumpulan B40 yang menjalani saringan kesihatan menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dikesan menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Mereka sebelum ini tidak pernah mengetahui mereka menghidapi penyakit tidak berjangkit,” katanya ketika membentangkan Laporan PeKa B40 2019-2020 secara maya hari ini.

Beliau berkata antara penyakit tidak berjangkit yang dikesan melalui saringan berkenaan adalah kencing manis sebanyak 10.4 peratus, kolesterol tinggi (29.8 peratus), darah tinggi (13.8 peratus), masalah mental seperti kemurungan (1.6 peratus) dan keresahan (1.4 peratus).

“Sebelum menjalani saringan PeKaB40, mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan seumpamanya, apatah lagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Skim PeKa B40 itu diuruskan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd yang menyediakan empat manfaat iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000) dan insentif tambang pengangkutan sehingga RM1,000.

Skim berkenaan yang memberikan fokus kepada penyakit tidak berjangkit, diberikan secara percuma kepada semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta pasangan mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas.

Dr Adham berkata sebanyak RM62.5 juta dibelanjakan dalam tempoh 15 April 2019 hingga 31 Dis 2020 untuk membiayai skim PeKa B40 yang bertujuan membuat pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit kumpulan B40.

Daripada jumlah itu, RM38.5 juta dibelanjakan untuk manfaat saringan kesihatan yang meliputi pengambilan sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan kesihatan mental, pemeriksaan kanser payudara dan prostat serta ujian air kencing dan darah.

Beliau berkata saringan kesihatan PeKa B40 itu boleh dilakukan di klinik swasta dan juga klinik kesihatan KKM seluruh negara.

“Bagi manfaat bantuan alat perubatan, sebanyak RM20.9 juta dibelanjakan bagi membiayai permohonan 10 jenis alat perubatan antaranya alat bantuan pendengaran, bantuan sokongan nutrisidan kerusi roda,” katanya.

Sejumlah RM1.6 juta pula telah dibelanjakan bagi insentif melengkapkan rawatan kanser manakala RM1.5 juta dibelanjakan untuk insentif tambang pengangkutan untuk meringankan beban perbelanjaan kos perjalanan, kata beliau.

Dr Adham berkata seramai 2,112 pengamal perubatan am swasta dan 182 makmal perubatan swasta terlibat dengan skim PeKa B40.

“PeKa B40 adalah inisiatif kerajaan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan di Malaysia dalam aspek penjagaan kesihatan jangka panjang.

“Kita amat berharap agar lebih ramai rakyat kumpulan B40 mendapat manfaat daripada skim ini demi memastikan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit dapat dilakukan seterusnya mengelakkan komplikasi rawatan di masa hadapan,” katanya, lapor Bernama.

Laporan penuh PeKa B40 2019-2020 boleh dimuat turun dilaman web www.protecthealth.com.my.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu