Kuala Lumpur Post

Social

Lelaki bakar kereta polis bantuan ditahan

PETALING JAYA — Polis mengesahkan menahan seorang lelaki yang juga pekerja p-hailing selepas dia membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.52 pagi.

“Susulan laporan itu, polis menahan lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan di rumahnya di Flora Damansara, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

“Suspek disyaki menggunakan bom petrol yang dibaling ke arah kenderaan polis sebelum terbakar,” katanya di sini, hari ini.

Media sebelum itu melaporkan seorang lelaki dikesan memuat naik video di laman sosial TikTok mendakwa bertindak membakar sebuah kenderaan polis bantuan.

Lelaki terbabit memuat naik rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan dia bersama kenderaan sedang terbakar dan turut membuat hantaran ‘berpuas hati dapat membakar kereta polis #polistakdekeje’.

Mohd Fakhrudin berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati suspek juga ada melakukan vandalisme dengan menconteng dinding hentian bas.

“Berdasarkan siasatan awal, motif suspek bertindak sedemikian dipercayai kerana tidak berpuas hati terhadap kerajaan dan polis,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Tags: , , ,