Social
230

Lelaki bakar tafsir al-Quran gara-gara kecewa kekasih berubah hati

Alor Setar – Polis menahan seorang lelaki bukan Islam kerana dipercayai membakar senaskhah tafsir al-Quran di belakang tandas awam berhampiran Tabung Haji di Pekan Kuala Nerang, malam tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata polis turut merampas dua unit telefon bimbit, satu unit pemetik api dan sepasang selipar yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Katanya, siasatan mendapati suspek berusia 36 tahun itu berbuat demikian kerana marah dan kecewa dengan kekasihnya seorang wanita Islam yang berubah hati.

Terdahulu, katanya, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada jam 12.25 tengah malam tadi selepas melihat video melalui WhatsApp mengenai seseorang membakar al-Quran di belakang tandas.

Beliau berkata, berikutan itu pengadu bersama dua rakan ke lokasi kejadian namun mendapati tiada sesiapa di situ dan hanya menemui cebisan al-Quran yang dibakar.

“Mereka kemudian memaklumkan kejadian ini kepada polis dan satu kertas siasatan dibuka berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, lokasi kejadian di hadapan rumah kedai suspek tidak mempunyai kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan kawasan itu terbuka.

Berikutan itu, katanya, polis mengambil sisa cebisan tafsir al-Quran yang dibakar di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, naskhah tafsir al-Quran yang dibakar itu adalah hadiah pemberian wanita terbabit.

“Hasil soal siasat, suspek mendakwa dia tidak berbuat untuk menyentuh sensitiviti agama namun dia ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435/295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda bagi kesalahan Seksyen 435 Kanun Keseksaan manakala hukuman penjara dua tahun, denda dan kedua-duanya bagi kesalahan Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pendakwaan. — BH Online

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu