Kuala Lumpur Post

Social

Lelaki Bangladesh pandu lawan arus ditahan

KOTA TINGGI — Seorang lelaki Bangladesh ditahan selepas didapati memandu kereta secara melawan arus di Kilometer 26.5 Jalan Johor Bahru – Mersing, dekat sini, yang tular di Facebook, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan pada 3.15 petang di kawasan hentian bas Kota Tinggi di sini.

“Sebelum penahanan lelaki itu, Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi mengesan rakaman video tular berdurasi 50 saat menunjukan kejadian berkenaan.

“Video memaparkan Nissan Almera berwarna putih dipandu secara melawan arus atau songsang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai lesen memandu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hussin, suspek tidak mempunyai lesen dan saringan ujian air kencing didapati negatif dadah, manakala semakan mendapati kereta terbabit tidak mempunyai kaitan dengan rekod jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.